Showing posts with label Info kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Info kesihatan. Show all posts

Friday, 21 February 2014

Hukum Minum Air Mengandungi Lalat

Hukum Minum Air Mengandungi Lalat



Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda:
“Sekiranya seekor lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang dari kamu, maka celuplah ia. Kemudian buanglah ia kerana salah satu sayapnya mempunyai racun, dan disebelah yang lain mempunyai penawar.”[Hadis Sahih Riwayat Bukhari (3320), Abu Daud (3844), Ibnu Majah (3505)]

PENGERTIAN UMUM
Hadis ini menjelaskan, sekiranya lalat termasuk ke dalam bekas minuman, maka janganlah tergesa-gesa memandang hina makanan tersebut lalu membuangnya, bahkan perlulah mencelup atau menyelamkan lalat itu di dalam bekas terlebih dahulu, kemudian barulah membuang serangga tersebut. Tidak menjadi masalah untuk meneruskan makan dan minum di dalam bekas yang pernah mengandungi lalat. Ini adalah disebabkan, sebelah kepak sayap lalat yang jatuh ke dalam air itu mengandungi racun, manakala disebelah lain pula mengandungi penawarnya.

KELEBIHAN LALAT
Disebutkan di dalam kitab Musnad Abu Ya`la:
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. telah berkata:
“Umur lalat adalah selama 40 malam, dan kesemua lalat akan berada di dalam neraka kecuali lebah”[Ibnu Hajar mengulas: Sanad hadis ini tidak mengapa]
Keberadaan lalat di dalam api neraka bukanlah untuk di seksa, bahkan ia ditempatkan disana bagi menyeksa ahli neraka.
Sains moden pula, menjadikan lalat buah, khususnya "drosophila melanogaster" sebagai bahan kajian utama bagi mengenali penyakit dan penawar bagi manusia. Nabi Muhammmad dalam hadis ini menyebutkan berkenaan rahsia lalat dalam konteks perubatan dan ahli-ahli sains membuktikan kebenarannya pada hari ini.

HUKUM AIR YANG MENGANDUNGI LALAT
Majoriti ulama berpandangan: Air yang sedikit tidak menjadi najis sekiranya dimasuki dengan sesuatu yang tidak najis. Oleh itu, air yang mengandungi lalat tidaklah najis, kerana menjadi suatu kemustahilan apabila Rasulullah  mengarahkan umatnya mencelupkan sesuatu najis ke dalam air minuman. Ibnu Qayyim mengulas: ini adalah pendapat majoriti ulama yang tidak diketahui dari mana-mana salaf yang berselisih terhadapnya.
Sebahagian ulama yang lain pula berpandangan: Tujuan hadis ini bukanlah untuk menjelaskan kesucian air, tetapi menerangkan cara perubatan yang disebabkan oleh masalah lalat. Ibnu Hajar mengulas: ini adalah pendapat yang benar, akan tetapi tidaklah terhalang dari mengambil hukum yang lain.

KELEBIHAN MENCELUP LALAT
Mampu mengeluarkan penawar yang ada di sebelah sayap lalat yang terjatuh di dalam air. Bahkan, makanan atau minuman itu pula boleh diminum mengikut kadar kesanggupan.
MENJAWAB DAKWAAN ORANG YANG MENENTANG HADIS INI
Sebahagian orang Islam dan orang bukan Islam telah memperolok-olokkan hadis ini. Diantara mereka, ada yang mengatakan:
Bagaimana boleh berkumpul antara racun dan penawar pada sayap lalat? Bagaimana pula lalat boleh tahu sehingga dia mampu mendahulukan sayap yang mempunyai racun dan melambatkan sayap yang mempunyai penawar? Apa yang membuat ia begitu pandai??
Imam al-Khatabi berkata: “Ini adalah pertanyaan orang yang benar-benar jahil atau memang hanya berpura-pura jahil. Seorang yang dapat merasai kehidupan dalam dirinya dan kehidupan keseluruhan haiwan, dia akan mendapati bahawa terkumpulnya hawa panas dan sejuk,  kering dan basah yang saling berlawanan dimana apabila bertemu maka akan saling merosakkan. Tetapi Allah mampu untuk menyatukannya dan menjadikannya sebagai kekuatan haiwan agar tidak ada orang yang akan mempertikaian akan terkumpulnya penyakit dan ubat dalam satu haiwan. Dialah yang memberi ilham kepada lebah untuk membuat rumah yang sangat menakjubkan serta mengeluarkan madu dan Dia juga yang memberi ilham kepada semut agar mencari makanan rujinya serta disimpan untuk keperluan hidupnya, Dialah yang menciptaan lalat dan mengajarnya agar mengedepankan sayap penyakit terlebih dulu kemudian sayap  penawarnya. Semua itu adalah keinginan Allah untuk menguji hamba-Nya supaya wujud ta’abbud (ibadah). Pada segala sesuatu terdapat pelajaran dan hikmah. Dan tidak ada yang dapat memahaminya kecuali orang-orang yang berakal”
[Maalim Sunan 4:239]



Ibnu Jauzi Juga mengatakan: Apa yang disebutkan itu tidaklah aneh, kerana lebah pun mengeluarkan madu dari bahagian atasnya, dan mengeluarkan racun dari bahagian bawahnya.

KAJIAN SAINTIFIK
Kajian saintifik telah mendapati bahawa, lalat akan mengeluarkan unsur-unsur kecil dari jenis enzim yang dinamakan bacteriphages iaitu, suatu organisma kuman yang merosakkan hidupan lain. Ianya merupakan kuman yang sangat kecil, bersaiz panjang 20;25 mยต. Oleh itu, apabila lalat jatuh ke dalam air, hendaklah lalat tersebut dicelup kerana ia akan mengeluarkan kuman bacteriphages yang menentang bakteria perosak.
Pernah terjadi di Negara India pada tahun 30an. Mereka dilanda wabak taun (Kolera). Sehinggakan, ada yang mengatakan; rakyat india akan mati disebabkan taun. Dan lalatlah puncanya, lalat tidak menyihatkan dan tidak pula menyembuhkan.. semua rakyat akan mati..
Namun, selepas dua minggu, pengamal perubatan telah mendapati rakyat India semakin pulih. Mengapa? Ada sebab: kerana lalat telah menukar bakteria yang menyebabkan penyakit ini. Dan menukarnya menjadi sesuatu yang lain, yang dinamakan bacteriphagesyang membunuh bakteria menggunakan sayap kedua. Lalat turun ke sumur-sumur, dan masuk ke dalam air dan membunuh bakteria. Rakyat India minum, dan mereka sembuh. Bermulalah kesihatan secara perlahan-lahan dalam tubuh mereka.
[Mausuah Az-Zahabiah:1017]


M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti Staphylococcus aureusHaemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.
Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di Sound Medicine: October 10, 2010   
 Sebagai contoh, ia dicadang untuk digunakan bagi merawat luka disebabkan kencing manis. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Diabetes Health terbitan Mac 1995. Antara institusi perubatan yang telah menggunakan pendekatan ini ialah Long Beach Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula pakar-pakar perubatan melaporkan mereka berjaya merawat sebelas kes luka yang teruk dengan menggunakan larva lalat. Kaedah ini berjaya mengawal infeksi kuman dan menyelamatkan kes-kes ini dari pembedahan amputasi. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases.
Wallahu Alam.
________________
Syihabudin Ahmad Mohd Yatim.
Kuliah Dirasat Islamiah, Syukbah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar Dumyat.

Rujukan :
·         Ar-Ruh wal Raihan Fi Ahadis Ahkam , Dr Syed Ahmad Muhammad Sahlul,  Dar al-Islamiah , Cetakan Pertama 2011.
·         Perubatan Islam dan Bukti Sains ModenDr. Danial bin Zainal Abidin. Terbitan PTS Publication.

Istinjak Atau Membersihkan Kemaluan Cara Islam


Maksud Istinjak

Istinjak dari segi bahasa ialah putus. Manakala dari segi syarak pula ialah menghilangkan najis daripada kemaluan dengan menggunakan air, batu, atau kedua-duanya, atau sesuatu yang dibolehkan syara’ untuk bersuci.

Menurut Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji dalam kitab mereka Fikah Al-Manhaji Mazhab Syafie mengatakan bahawa :

“Istinjak ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar kencing atau air besar. Perkataan istinjak diambil daripada perkataan an-naja’ iaitu selamat dan terhindar daripada penyakit atau diambil daripada perkataan an-najwah iaitu tanah yang tinggi atau daripada perkataan an-najw iaitu sesuatu yang keluar daripada dubur. Ia dinamakan dengan istinjak di sisi syarak kerana orang yang beristinjak berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya ia dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah yang tinggi dan seumpamanya.”

Rumusan dari pendapat di atas mengatakan bahawa istinjak ialah menghilangkan najis ringan atau berat dari tempat keluarnya najis (khubul dan dubur) dengan menggunakan air, batu, kulit kayu atau benda kesat. Tujuan istinjak adalah untuk membolehkan solat atau ibadah lain. Istinjak adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam, sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Istinjak

Wajib istinjak dengan air atau dengan batu atau suatu yang keras dan suci dan kesat serta tidak dihormati. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa bagi sesiapa yang meninggalkan istinjak dengan sengaja kerana orang tersebut berada didalam kekotoran.

Rukun Istinjak
  1. Islam.
  2. Alat untuk istinjak, seperti air, batu, kertas atau seumpamanya.
  3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.
  4. Istinjakkan itu membersihkan sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubur atau dubur.

Syarat Istinjak
  1. Menghapuskan rasa najis.
  2. Menghapuskan bau najis.
  3. Menghapuskan warna najis.


Cara Istinjak
  1. Istinjak mestilah 3 kali berturut-turut, jika masih belum suci, boleh diulang lagi basuhan sehingga suci.
  2. Alat dibuat istinjak mestilah melingkupi tempat yang disapu.
  3. Beristinjak mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar dari kemaluan manusia.
  4. Istinjak Dengan Batu
  5. Menggunakan satu batu besar atau tiga ketul batu, sapukan kepada tempat keluarnya najis iaitu qubur. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air. Hadis Rasulullah SAW :

“Dikatakan kepada Salman ra : Sesungguhnya Nabi kamu SAW telah mengajar kamu semua perkara termasuk cara membuang air. Lalu dikata : Benar, sesungguhnya baginda melarang kami mengadap kearah kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang kami beristinjak menggunakan tangan kanan atau istinjak menggunakan kurang dari tiga biji batu atau beristinjak dengan najis atau tulang.”(Riwayat Muslim)

Afdhal beristinjak dahulu dengan tiga biji batu atau tiga bahagian pada satu buji batu yang besar sehingga diyakini bersih, maka dibasuh pula dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih pada bahagian kemaluan yang terkena najis tersebut.

Disunatkan setiap bilangan penyucian itu diganjilkan bilangannya seperti 3, 5, 7, 9 dan seterusnya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa beristinjak dengan batu, maka hendaklah ia ganjilkan bilangannya. Sesiapa yang memperbuat begitu maka sesungguhnya itulah yang lebih baik, tetapi sesiapa yang tidak berbuat begitu maka tidaklah ia berdosa" (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Cara Isntinjak Dengan Batu
  1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan kemaluan yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.
  2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan kemaluan kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.
  3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.
  4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.
  5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.


Syarat Istinjak Dengan Batu
  1. Najis tersebut tidak terkena tempat lain.
  2. Bagi membuang air besar hendaklah najis tersebut berlemak-lemak, tidak cair atau lembik.
  3. Hendaklah najis itu tidak terkena najis lain ke atasnya. Kalau ia terkena najis lain, maka ia wajib beristinjak dengan menggunakan air mutlak.
  4. Sekurang-kurangnya menggunakan tiga biji batu atau tiga bahagian dari sebiji batu besar. Jika tiga batu masih tiada menyucikan hendaklah ditambah lagi hingga diyakini suci.
  5. Haram beristinjak menggunakan tulang dan najis yang menjadi keras. Begitulah juga haram beristinjak dengan sesuatu yang tertulis perkataan yang dimuliakan seperti ayat Al-Quran, Hadis, ilmu yang bermanfaat, nama-nama nabi-nabi, malaikat dan alim ulamak.


Istinjak Dengan Air Mutlak

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Beristinjak menggunakan air samalah juga dengan menggunakan batu iaitu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa, zat dan warnanya.”

Untuk memastikan bersih atau tidak qubul atau dubur, maka boleh dirasakan dengan tangan sendiri, jika ia berasa kesat dan tidak berlendir, maka ia telah dikira bersih dan suci qubul atau dubur. Air merupakan alat yang terbaik untuk beristinjak, kerana air dapat menghilangkan ain, rasa, bau dan warnanya sekali.


Cara Istinjak Dengan Air Mutlak

  • Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.
  • Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.
  • Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.
  • Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.
  • Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.
  • Sunat selepas istinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.
  • Sunat ketika istinjak membaca doa.
  • Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.
  • Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.
  • Setelah selesai beristinjak dengan menggunakan air mutlak, batu atau benda-benda kesat, maka disunatkan membaca doa :
“Ya Allah, bersihkan hatiku daripada sifat munafik dan peliharalah kemaluanku daripada kejelekkan (kekotoran).”

Adab Beristinjak

Di sini terdapat etika yang dituntut ke atas setiap muslim supaya melakukannya ketika qada hajat dan beristinjak. Di antara etikanya ialah :

Tempat Menunaikan Hajat

  1. Jalan orang ramai atau tempat mereka duduk atau berkumpul kerana ia boleh menyakitkan mereka. Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat. Para sahabat bertanya : Apakah dua perkara tersebut? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang membuang air besar (menunaikan hajatnya) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh.” (Riwayat Muslim)
  2. Dalam lubang pada tanah atau pada dinding dan seumpamanya kerana ia akan menghasilkan perkara-perkara yang menyakitkan. Kemungkinan di dalam lubang tersebut terdapat binatang yang berbisa seperti kala jengking atau ular lalu ia keluar dan menyakitkannya. Kadang-kadang terdapat di dalamnya haiwan yang lemah, maka ia boleh menyakitkan binatang tersebut. Daripada Abdullah Bin Sarjis bahawa ia berkata : “Rasulullah SAW melarang daripada kencing di dalam lubang iaitu lubang tanah.”(Riwayat Abu Daud)
  3. Di bawah pokok yang berbuah bagi memelihara buah tersebut daripada tercemar ketika luruhnya sama ada buah tersebut dimakan atau diambil manfaat dengannya. Ini supaya perasaan seseorang tidak merasa jijik.
  4. Air yang tenang/bertakung. Ini kerana jiwa manusia akan merasa jijik dengan air tersebut sekalipun air itu banyak dan najis tersebut tidak merubah rasa, bau atau warnanya. Atau pun air itu akan dibuang begitu sahaja jika najis itu mengubahnya. Larangan ini juga termasuk pada air yang kurang dari 2 kolah. Daripada Jabir ra daripada Nabi SAW bersabda : “Baginda SAW melarang kencing dalam air (bertakung) tenang” (Riwayat Muslim)


Masuk Dan Keluar Tempat Qada Hajat

Disunatkan kepada orang yang qada hajat supaya melangkah dengan kaki kiri ketika masuk dan dengan kaki kanan ketika keluar. Ini kerana itulah yang lebih layak untuk tempat-tempat kotor dan najis. Dan jangan ia membawa perkataan yang menyebut nama Allah dan juga namaNya yang lain.

Disunatkan juga membaca zikir dan doa-doa yang telah thabit daripada Rasulullah SAW ketika masuk tandas dan keluar daripadanya.


Arah Mengadap
  1. Haram ke atas orang yang qada hajat mengadap kearah kiblat atau membelakangkannya sekiranya ia berada di tempat lapang dan tidak ada pendinding yang tinggi yang menutup auratnya ketika qada hajat.
  2. Begitu juga haram qada hajat di dalam binaan yang tidak disediakan sebagai tempat qada hajat dan tidak mencukupi syarat-syarat pendinding seperti dinding yang tinggi yang menutupi auratnya.
  3. Disyaratkan dinding yang menutupnya itu tidak jauh daripadanya lebih daripada 3 hasta dengan ukuran tangan manusia atau menyamai lebih kurang 150cm. sekiranya binaan tersebut disediakan sebagai tempat qada hajat (tandas) maka janganlah mengadap kiblat atau membelakangkannya. Daripada Abi Ayub Al-Ansari ra. Daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila kamu datang ke tempat qada hajat maka janganlah kamu mengadap kea rah kiblat dan jangan kamu membelakangnya sama ada ketika buang air kecil atau besar, tetapi mengadaplah kea rah timur atau barat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Keadaan Orang Yang Qada Hajat

Dia hendaklah duduk di atas tumit kaki kiri dan mendirikan lutut kaki kanan serta tidak melihat ke langit, kemaluannya dan najis yang keluar daripadanya. Ini kerana perbuatan tersebut adalah tidak layak dengan keadaanya itu. Dan makruh dia bercakap dan lainnya ketika qada hajat. Daripada Ibnu Umar ra berkata :

“Seorang lelaki lalu berdekatan Rasulullah SAW yang sedang membuang air kecil. Lalu dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawab.” (Riwayat Muslim)

Makruh juga perbuatan yang lain seperti makan, minum dan bercakap-cakap ketika sedang melakukan perbuatan qada hajat.

Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri

Orang yang qada hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak dilakukan. Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana makruh menyentuh zakar dengan tangan kanan.

Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan mengerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut. Daripada Abi Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Riwayat Al-Bukhari)


Alat Yang Haram Digunakan Untuk Istinjak


Tidak sah beristinjak dengan menggunakan benda-benda yang najis atau mengandungi najis, kerana ia akan menambahkan lagi kesan najis yang sepatutnya dikurangkan dengan cara beristinjak. Daripada Abdullah Bin Mas’ud ra berkata : “Nabi SAW telah datang ke tempat qada hajat dan menyuruh aku membawa 3 biji batu kepadanya. Aku hanya dapati dua biji batu dan aku cari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Kemudian aku mengambil tahi binatang dan bawa kepadanya, lalu Baginda mengunakan dua biji batu tersebut dan membuang najis itu seraya berkata : Ini adalah najis.” (Riwayat Al-Bukhari)

Haram beristinjak dengan menggunakan makanan yang dimakan oleh anak Adam. Contohnya seperti roti dan lain-lainnya. Haram juga beristinjak dengan menggunakan tulang, kerana ia merupakan makanan jin dan haiwan seperti anjing. Daripada Ibnu Mas’ud ra dari Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Telah datang kepadaku Jin yang memanggil, lalu aku pergi bersamanya dan aku membacakan Al-Quran kepada mereka. Ibnu Mas’ud menceritakan lagi, dan mereka itupun meminta bekalan. Lalu Baginda menjawab : Bagi kamu semua tulang yang disebut di atasnya nama Allah, ia berada di tangan-tangan kamu dalam keadaan daging yang lebih banyak, dan juga tahi-tahi binatang menjadi makanan kepada binatang-binatang kamu.” (Riwayat Muslim)

Haram beristinjak dengan sesuatu benda yang dihormati seperti anggota haiwan yang bersambung dengannya seperti tangan dan kakinya, lebih-lebih lahi anggota manusia kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan kemuliaannya.


Hikmah Istinjak

Melakukan istinjak dapat membersihkan anggota badan supaya anggota badan menjadi sihat dan cergas. Orang yang sihat akan sentiasa ceria dan bersemangat dalam setiap pekerjaannya yang dilakukan. Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri daripada segala penyakit yang disebabkan dari kuman atau kekotoran. Sebab itulah Islam sangat mengambil berat soal kebersihan ini kerana ia mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan.

Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. Kekemasan dan kebersihan adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai umat Islam kita perlu meneladani apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang yang mempunyai kebersihan diri akan sentiasa dihormati oleh orang sekelilingnya. Malah ia juga menjadi model atau contoh kepada masyarakat sekelilingnya. Berbeza dengan orang yang tidak bersih, kerana masyarakat akan memandangnya jijik dan mereka tidak mahu mendekati orang yang tidak bersih. Orang yang tidak bersih ini sering kalinya berada dalam keadaan yang tidak terurus, kotor, busuk dan sebagainya.

Beristinjak atau membersihkan diri daripada najis dapat menghindarkan diri dari berbagai-bagai penyakit yang disebabkan kekotoran najis. Kuman yang disebabkan najis yang dikeluarkan oleh seseorang dapat dihilangkan dengan cara istinjak sehingga bersih. Ini bertujuan untuk mengelakkan diri dari dihinggapi oleh berbagai penyakit. Islam telah meletakkan kaedah istinjak yang paling baik kepada umatnya supaya dapat menjauhkan diri daripada berbagai penyakit.

Saturday, 15 February 2014

Benarkah Strepsils mengandungi Alkohol?


Benarkah Strepsils mengandungi Alkohol?


Assalamualaikum,
Sebenarnya isu penggunaan Alkohol di dalam makanan dan ubat-ubatan sudah acap kali dibincangkan. Di dalam buku Halalkah Ubat Anda? sendiri, saya cuba bincangkan secara khusus mengenai status halal haram penggunaan Alkohol di dalam ubat-ubatan.
Kali ini, saya suka kongsikan tulisan Ustaz Amri Abdulllah dari Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Masyarakat hari ini masih keliru adakah arak dan alkohol itu dua perkara yang berlainan atau perkara yang sama. Arak semestinya mengandungi alkohol tetapi alkohol tidak semestinya arak. Arak adalah arak dan alkohol adalah alkohol. Ini adalah konsep yang seharusnya difahami oleh semua pihak terutamanya umat Islam.
Dalam Bahasa Arab, arak disebut sebagai khamar. Dari sudut bahasa ia memberi makna benda yang memabukkan yang diperbuatkan dari jus buahan (seperti anggur) kerana ia menutup aqal.
Ada dua jenis arak di diminum zaman Rasulullah dan selepasnya iaitu sebagai Khamar iaitu perahan dari buah tamar, anggur dan lain-lain yang diperam. Kedua dinamakan sebagai Nabiz. Nabiz adalah buahan atau hirisannya yang direndam ke dalam air sehingga rasanya meresap ke dalam air. Jumhur fuqaha’ yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafi`i, dan Hanbali berpendapat meminum arak yang diperbuat daripada perahan anggur, buah-buahan atau bijirin lain, banyak atau sedikit adalah haram.
Firman Allah Surah Al-Maaidah :90 :
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda
Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram.( HR Muslim )
Apakah alkohol? Kamus Dewan mengatakan bahawa alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan memabukkan. Ia terdapat di dalam minuman keras dan lain-lain. Dr. Bohari Mohd Yatim menjelaskan alkohol ialah bahan hidrokarbon yang mempunyai kumpulan fungsi –OH yang terikat pada atom karbon. Oleh itu bahan yang terkandung dalam alkohol cukup luas dan pelbagai jenis. Penakrifan lain, alkohol adalah gabungan unsur karbon, hidrogen dan oksigen. Pada kebiasaannya apabila disebut alkohol ia dirujukkan kepada ‘ethyl – alcohol, entanol atau ETON.
Sebenarnya etanol wujud bersekali dengan proses menghasilkan alkohol. Seperti dijelaskan di atas ada dua cara alkohol dihasilkan:
Penapaian atau Fementasi
Proses ini dihasilkan melalui tindakbalas sel yang dikenali sebagai yis (yeast fungi). Yis ini bertindak memecahkan gula yang terdapat dalam bahan perahan atau bijirin dan membebaskan karbon dioksuda dan alkohol atau etanol. Proses ini berterusan sehingga semua kandungan gula habis. Apabila kandungan alkohol bertambah, kadar metabolik yis akan menurun dan akhirnya mati pada kadar 14% alkohol. 14% ini dikenali sebagai undistilleg alcohol, alkohol yang tidak disuling. Seperti yang dijelaskan di atas, jika alkohol yang tidak disuling ini melalui proses penyulingan kadar alkoholnya akan meningkat antara 12% hingga ke 25%.
Proses Peretakan.
Peretakan merupakan cara terbaru menghasilkan alkohol daripada etena. Melalui cara ini alkohol boleh dihasilkan daripada bahan petroleum. Prosesnya ialah dengan cara memecahkan molekul minyak yang besar kepada molekul yang lebih kecil dengan tindakan haba dan tekanan yang tinggi serta bantuan dari bahan pemangkin. Apabila etena dan stim ditindakbalaskan pada suhu dan tekanan yang tinggi dengan bantuan bahan mangkin asid fosforik, etanol akan terbentuk. Etanol juga disebut ETON. Ia merupakan komponen terbesar dalam minuman keras selepas air. Minuman yang dihasilkan melalui proses penyulingan juga dikenali sebagai spirits atau liqur. Brandi, rum, vodka dan wiski adalah antara arak yang dihasilkan melalui sulingan.
Satu hakikat yang sangat penting diambil perhatian ialah; ada etanol yang dihasilkan melalui sumber petroleum, ia bukan arak. Etanol yang dihasilkan dari bahan petroleum tidak sama dengan etanol yang dihasilkan daripada perahan buahan, bijirin atau manisan. Etanol yang dihasilkan daripada petroleom bukan dihasilkan daripada bahan yang diharamkan syarak, iaitu arak atau alkohol. Perbezaan ini akan mempunyai impak yang besar terhadap hukum penggunaan etanol.
Apakah hukum penggunaan alkohol bukan arak yang melalui proses fermentasi dalam makanan? Fermentasi adalah proses pemecahan gula glukosa kepada alkohol (etanol) dan gas karbon dioksida. Proses ini berlaku tanpa kehadiran oksigen dan terjadi dengan bantuan bakteria dan yis. Fermentasi jenis ini dinamakan sebagai fermentasi beralkohol. Contohnya seperti cuka, tapai, roti, beer dan wain. Etanol wujud secara semulajadi dalam makanan yang melalui proses fermentasi. Walaubagaimanapun, terdapat penggunaan alkohol dalam makanan yang bertujuan untuk memberi rasa dan kriteria tertentu dan menjadikannya lebih berperisa. Contoh makanan yang ditambah alkohol (wine atau beer) bersamanya adalah seperti kek, coklat, sos dan sebagainya. Begitu juga penggunaan Rum dalam ais krim dan koktail. Perlu juga kita tahu adalah semua proses pemeraman akan melahirkan alkohol seperti kicap, sos, budu, jus, kordial termasuk buah kurma yang direndam juga mengandungi alkohol. Rasulullah s.a.w pernah melarang sahabat meminum air rendaman buah kurma yang melebihi 3 hari. Tetapi alkohol ini adalah bukan alkohol arak.
Lantaran itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 dan 12 April 1984 telah memutuskan :
  1. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol, atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.
  3. Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak atau bukan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  4. Tapai adalah halal
  5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alcohol adalah harus dan dimaafkan (kegunaan luar).


FATWA TERBARU
Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyaialkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuktujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dandiharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Mudah-mudahkan sedikit pencerahan ini dapat memberi panduan kepada semua. Semoga Allah memberi petunjuk dan melindungi kita dari perkara-perkara yang haram.
Sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Benarkah Minyak Yu Yee Cap Limau ada Lemak Babi?

Benarkah Minyak Yu Yee Cap Limau ada Lemak Babi? | Awal tahun ini, saya menerima banyak soalan mengenai status Minyak Yu Yee yang tersebar di Facebook.

Soalan dari Puan Normah,

Sebenarnya saya ada persoalan @ kemusykilan tentang penggunaan Minyak Yu Yee Cap Limau (yg biasa di gunakan oleh bayi untuk elakkan kembung perut). Semasa saya bersalin dulu ada seorang Ustazah memberitahu saya yang minyak yu yee berkenaan mengandungi air kencing babi. Jika di sapu lama -kelamaan ada meninggalkan bau yang tidak menyenangkan umpama bau hancing (air kencing). Pada pendapat En.Rahman adakah benar minyak tersebut memang benar-benar mengandungi unsur-unsur haram tersebut. Harap penjelasan yang diberikan memberi kesedaran kepada saya yang pernah menggunakan minyaktersebut.
Terima Kasih kerana membantu.
Normah.

Soalan dari Puan Nora,
Salam En Rahman,
Maaf terlebih dahulu kalau pertanyaan saya bukan dalam senarai blog tuan. Saya sudah pertanyakan kepada R&D MAIS tapi disuruh pulak tel JAIS. Malas dah nak tel kerajaan nanti di suruh pulak telefon tempat lain (naik angin saya).
Persoalannya adakah minyak YUYI CAP LIMAU tu HALAL..ada orang kata ia bercampur dengan minyak babi
Kalau ada jawapan dari pihak En Rahman Alhamdullih, kalau tak ada taka pa.
Best Regards:
Nora A.H
Jawapan:
Ramai ibu-bapa di Malaysia menggunakan Minyak Yu Yee @ Yuyi Cap Limau untuk melegakan atau mencegah kembung perut pada bayi mereka. Malah, ada juga orang dewasa yang menggunakan minyak Yu Yee untuk merawat pening, kembung dan sebagainya.
Sejak tahun 2011, terdapat beberapa versi cerita yang mendakwa Minyak Yu Yee Cap Limau mengandungi unsur babi disebarkan melalui Facebook dan juga email. Tetapi masih belum ada bukti sahih membuktikan Minyak Yu Yee mengandungi unsur babi.
Beberapa pertanyaan telah diajukan kepada Pihak JAKIM dan antara  jawapannya ialah:
“ Oleh kerana Jakim belum lagi menjalankan ujian kimia ke atas produk ini untuk menentukan status kehalalannya, maka terpulanglah kepada saudara samada  terus menggunakan produk tersebut atau sebaliknya. Pada pandangan panel , sekiranya kita tidak menggunakan minyak yu yeepun tidak menjadi masalah kerana  masih banyak minyak angin jenama lain  yang ada di dalam pasaran yang boleh kita gunakan tanpa was-was.”
Minyak Yu Yee Cap Limau ataupun Yu Yee Oil Cap Limau Liniment merupakan produk tradisional yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1999. Dikilangkan oleh Syarikat Weng Seng Medical Factory Sdn Bhd, Paya Terubong, Pulau Pinang Malaysia.
EKSKLUSIF!
Untuk menjawap pertuduhan ini, pihak Syarikat Weng Seng Heng Medical telah mengantar Produk Minyak Yu Yee Cap Limau untuk diuji di 2 makmal berbeza.

Ujian pengesanan unsur babi menggunakan teknik Real Time PCR. Keputusan Negatif.
Ujian pengesanan minyak haiwan termasuk lemak babi (Lard). Keputusan, tiada unsur haiwan dikesan.
Mengikut peraturan pendaftaran produk farmaseutikal (DRGD) di Malaysia, setiap Syarikat wajib mengisytiharkan jika produk mereka mengandungi unsur haiwan dan meletakkan label yang menyatakan produk mengandungi unsur haiwan sama ada lembu, babi ataupun haiwan lain.
Semoga dengan dua ujian makmal ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna muslim yang selama ini menggunakan Minyak Yu Yee Cap Limau.
Mengharamkan Yang Halal dan Menyebarkan Fitnah
Prinsip Islam berkenaan halal dan haram menekankan bahawa halal dan haram adalah hak Allah s.w.t. dan perbuatan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram sama dengan syirik kepada Allah s.w.t
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”
Al Maa’idah : 87
Islam menekankan supaya kita menyelidik, berfikir dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat supaya tidak terperangkap dengan berita palsu atau maklumat berunsurkan fitnah.
Wajib bagi kita untuk memperhalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsurkan fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita yang tidak benar.
“Sesungguhnya Allah s.w.t Lebih Mengetahui”
Terima kasih,
Abd Rahman